KESAN sampah yang dibakar dapat dilihat dengan jelas di lokasi pembuangan sampah secara haram di Jalan PJU 10/10G, Saujana Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
PETALING JAYA 31 Julai - Masalah timbunan sampah di sini telah berlarutan sejak tiga tahun lalu, namun tiada tindakan diambil oleh pihak bertanggungjawab."
Itu luahan beberapa pekerja bangunan komersial di Jalan PJU 10/10G, Saujana Damansara di sini yang terpaksa menghidu bau busuk, selain pemandangan menyakitkan mata ketika bekerja.
Lokasi itu terletak dalam kawasan perindustrian kecil dan bangunan perniagaan komersial selain perumahan iaitu bersebelahan dengan lebuh raya ke Sungai Buloh.
Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit mendapati, sampah yang dilonggokkan di tepi jalan itu turut bertaburan hingga ke dalam longkang besar bersebelahan.
Pelbagai jenis sampah dapat dilihat di situ antaranya sisa dapur, makanan, tilam, kayu, kain, kotak dan perabot.
Lebih mengejutkan tebing longkang di situ yang turut runtuh dipenuhi sampah selain semak tebal yang berkemungkinan menjadi sarang habitat haiwan liar berbisa.
Air longkang mengalir dengan perlahan kerana laluannya terhalang oleh runtuhan tembok dan longgokan sampah pula boleh mengakibatkan banjir kilat.
Keadaan tersebut menjadi lebih kritikal apabila sampah tersebut turut dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab ketika negara ini diancam krisis jerebu yang serius sejak kebelakangan ini.
Asap pembakaran sampah itu pastinya akan memburukkan lagi kualiti udara dan menjejaskan pemandangan persekitaran.
Sehubungan itu, pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) perlu bertindak segera sebelum keadaan lebih buruk berlaku.
*Mari kita bekerjasama berganding bahu memastikan Sri Saujana tidak mempunyai masalah seperti ini. Jom pakat buang sampah di kebuk sampah.
Artikel Penuh: http://202.190.126.82/utusan/Kota/20130801/wk_02/%E2%80%98Sakit-hati-dikelilingi-sampah-haram%E2%80%99#ixzz2agplJkvo
© Utusan Melayu (M) Bhd